Ramasamy kalah saman, bayar lebih RM1 juta kepada Zakir Naik
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, memerintahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy membayar lebih RM1.52 juta kepada penceramah dari India, Dr Zakir Naik, dalam masa 30 hari.
Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian selepas mendapati Dr Zakir berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan pemimpin DAP itu, empat tahun lalu.
Samasa prosiding, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Dr Zakir memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir kerana berada di Nigeria untuk majlis ceramah sehingga 5 November ini.
Justeru itu katanya, Dr Zakir menghadiri prosiding ini secara dalam talian, menerusi aplikasi Zoom.
Sementara Ramasamy yang memakai kot hitam, diwakili peguam.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya 'syaitan' dalam laman Facebook.
Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.-sinarharian
Post a Comment