Header Ads

Mydin: Kami rugi kerana ringgit, bukan GST

Pihak Mydin menafikan menyalahkan dasar kerajaan
atas kerugian yang dialaminya tahun lalu.
KUALA LUMPUR: Pasar raya besar Mydin menjelaskan kerugian yang ditanggung tahun lalu ialah disebabkan kejatuhan nilai ringgit dan bukan cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau dasar kerajaan.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata pengusaha pasar raya Mydin di seluruh negara mengalami kerugian disebabkan penurunan nilai ringgit kerana kebanyakan daripada produknya diimport.
“Paras ringgit berbanding dolar AS adalah pada 3.65 pada 1 April, 2015, berbanding kira-kira 4.42 setiap dolar AS ketika ini. Itulah berapa banyak ringgit yang telah turun dalam tempoh itu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ameer berkata kelemahan ringgit berbanding dolar AS menyebabkan Mydin terpaksa membayar harga lebih tinggi lagi bagi produk yang dipesannya, tanpa menaikkan harga kepada pengguna.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan laporan yang tersebar dalam media sosial mendakwa pasar raya besar itu mengalami kerugian disebabkan dasar dan pentadbiran kerajaan sekarang.
Ameer menegaskan beliau tidak menyalahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti yang didakwa dalam laporan itu, dan tidak pernah mengkritik pentadbiran sekarang, walaupun ada beberapa dasar yang diperkenalkan mungkin menjejaskan perniagaan.
Menurutnya, GST tidak pernah menjadi punca kepada kerugian itu kerana cukai tersebut hanya menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebelum ini.
Beliau berkata Akta Anti Pencatutan menyukarkan Mydin untuk menaikkan harga produknya kerana proses itu remeh, memerlukan perniagaan untuk menyatakan alasan terperinci mengapa mereka perlu menaikkan harga bagi mana-mana produk tertentu yang mereka jual.
Justeru itu, katanya, sukar untuk memindahkan kos kepada pengguna, kerana kelemahan ringgit telahpun menyebabkan penurunan kuasa beli, yang seterusnya menjejaskan perniagaan kumpulan.

FMT

No comments

Powered by Blogger.