Guna air basuh gerai burger, 2 maut kena renjatan elektrik
IPOH: Dua lelaki maut termasuk seorang remaja berusia 14 tahun akibat terkena renjatan elektrik di sebuah gerai menjual burger di Taman Bercham Raya, di sini, awal pagi hari ini.
Kejadian berlaku ketika Muhammad Nadim Taqwa Abdul Malek, 14 dan Mohamad Elias Kamarudin, 30, dikatakan mencuci gerai burger tempat mereka berniaga itu menggunakan air.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Abdul Malek Abdul Samat, 61, bapa kepada Muhammad Nadim, ketika ditemui hari ini.
"Arwah (Muhammad Nadim) seorang yang rajin kerana...seoain membantu saya berniaga ayam goreng di pasar malam sekitar Ipoh, dia juga mengambil upah secara sambilan di gerai burger.
"Malam tadi arwah sempat menolong saya berniaga di Pasar Malam Taman Bercham Raya sehingga kira-kira jam 12 malam. Dia kemudiannya ke gerai burger untuk kerja sampingan membersihkan perkakasan perniagaan yang dilakukannya sejak lima bulan lalu.
"Saya diberitahu mereka berdua direnjat elektrik ketika sedang membasuh gerai burger menggunakan air...pada mulanya rakan dia (Mohamad Elias) yang terkena (renjatan), sebelum anak saya turut terkena ketika cuba bantu rakannya itu," katanya memaklumkan anaknya itu ada menyatakan minat untuk belajar dalam bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu hasil laporan orang awam di Balai Polis Tambun jam 1.15 pagi.
"Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi gerai burger, sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka adalah pekerja gerai dan dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bekerja," katanya mengesahkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, ibu Muhammad Nadim, Nor Diana Ismail, 44, tidak menyangka janji anaknya yang menetap bersama bekas suaminya itu untuk pulang mengunjunginya di Batu Pahat, Johor tidak kesampaian.
"Adik (arwah) katakan dia rindu hendak makan ayam goreng kunyit ibu (saya). Saya cakap datanglah sini (Batu Pahat), hari-hari ibu masak dan dia katakan nak datang hujung bulan ini (bulan lalu September).
"Bila saya WhatsApp dia semula baru-baru ini untuk tanya jadikah dia balik ke Batu Pahat, dia kata tunggu seminggu lagi. Namun hari ini saya pula yang ke sini (Ipoh)," katanya.
BH
Post a Comment